Home → → WAH! DAH KURUS (Berita Harian)

WAH! DAH KURUS (Berita Harian)

Senin, 17 Mei 2010
Mudah cetak
E-mel

16 Mei 2010

EKSTRA!

WAH! DAH KURUS

Kisahnya: Norleena Salim yang dulunya berisi dan tembam kini berjaya turunkan berat badannya sebanyak 55 kg

HANYA enam tahun lalu, tubuh gempalnya menjadi aset penting untuk personaliti Norleena Salim menghiburkan orang ramai dengan pelbagai aksi komedi, baik di pentas mahupun di kaca televisyen.

Sebagai 'Rosnah', si queen control dalam siri Under One Roof, beliau memikat penonton dengan aksi manja-manja rimaunya, yang membuat sang suami (lakonan Zaibo), kelihatan seperti kucing.

Dalam rancangan hiburan TV Kini pula, beliau tampak seperti bouncer yang garang, menjadikan teman hos yang bertubuh kecil seperti Rilla Melati Bahari, kelihatan seperti cili padi. Ini belum lagi dikira gaya flamboyannya yang cukup gila-gila ketika beraksi di kabaret Boom Boom Room.

Tetapi hari ini, tak mungkin Norleena tampil dengan watak serupa kerana keadaan bentuk badannya yang jauh berbeza - beliau kelihatan cukup langsing dan seksi setelah berjaya mengurangkan kira-kira 55 kilogram daripada berat badan asalnya.

'Berat badan 55 kg tu macam berat badan biasa untuk satu orang... bermakna saya dah lenyapkan satu orang untuk dapatkan badan macam ini,' seloroh Norleena dalam wawancara eksklusif dengan Berita Minggu baru-baru ini.

Tentu sekali kepulangan Norleena dengan wajah baru sejak Februari lalu, selepas enam tahun bermastautin di Brisbane, Australia, mengejutkan ramai peminatnya.

Norleena meninggalkan Singapura sekitar 2004 untuk membina penghidupan baru di sana setelah 'berasa penat dengan bermacam-macam perkara yang berlaku di Singapura.'

Namun, tidak terlintas langsung dalam fikirannya ketika itu bahawa kehidupan baru yang diharapkan itu juga membawa perubahan kepada bentuk fizikalnya.

'Saya tinggalkan Singapura kerana waktu itu, saya sudah terlalu penat. Saya rasa setiap gerak-geri saya diperhatikan dan saya seperti tidak ada kehidupan.

'Saya sampai ke tahap hilang perspektif dalam hidup. Saya mahu bermula dari bawah, di tempat orang tidak mengenali siapa Norleena sebenarnya,' ujarnya.

Di Brisbane, beliau membeli sebuah rumah dan setelah menyesuaikan diri, beliau mendapatkan pekerjaan sebagai deejay sambilan di sebuah stesen radio.

'Di sana, rentak hidup berjalan terlalu perlahan. Memang susah juga nak sesuaikan diri. Tetapi saya tak rindu langsung dengan showbiz di Singapura,' ujarnya.

Kata Norleena, beliau menjalani uji bakat untuk mendapatkan kerja di radio.

'Saya kena tunjukkan kebolehan dan bekerja keras untuk dapatkan tempat kerana memang ada aspek perkauman terhadap orang Asia di sana,' cerita beliau yang mendapat taraf Penduduk Tetap Australia.

Namun, selepas dua tahun menjauhi kehidupan sebagai seorang artis, Norleena mula terasa rindu untuk menyanyi. Beliau kemudian menyanyi secara sambilan di sebuah kelab jaz pada hujung minggu.

'Saya mahu menyanyi kerana itulah cinta pertama saya. Saya tidak mempunyai bakat semula jadi sebagai pelawak tetapi terpaksa belajar untuk berlawak dan buat standup comedy. Di Boom Boom Room, saya dan rakan seperti Kumar diheret ke bidang komedi kerana keadaan kerja memerlukan kami berbuat begitu,' ujarnya.

Peluang terbaik untuknya muncul apabila beliau diterima menyanyi untuk kapal peleseran Holland America Line, yang membawanya menjelajahi negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan Canada.

Selama tiga tahun beliau belayar dengan kapal tersebut, dengan setiap kontrak berjalan selama enam bulan.

Cerita bagaimana beliau berjaya melangsingkan badan juga sebenarnya berlaku ketika beliau 'belayar' memulakan kerjaya barunya.

'Di atas kapal, ada tiga sesi menyanyi, iaitu tengah hari, petang dan malam. Kena ikut syif.

'Saya kurang makan sebab dua jam sebelum menyanyi, saya pastikan perut kosong. Memang susah untuk jaga masa makan sebab kadangkala saya kena menyanyi dua sesi secara berturut-turut.

'Saya gunakan banyak saraf perut untuk menyanyi,' cerita penyanyi yang sehingga kini masih belum berumah tangga.

Di atas kapal juga, Norleena banyak menghabiskan masa di gym untuk menghilangkan rasa bosan sementara menanti gilirannya menyanyi.

'Dalam gym, ada instruktor... apa lagi, saya dapatkan khidmat instruktor untuk bantu saya bersenam dengan cara betul. Siang malam saya bersenam.

'Terus terang, saya sendiri tidak sedar berat badan saya berkurangan sehinggalah kawan-kawan tegur,' akuinya.

Kembara ke merata dunia, juga kata Norleena, telah mematangkan beliau dalam mengenali kehidupan.

'Setiap kali mendarat di negeri orang, baik di Amerika Syarikat, Eropah atau Canada, saya suka habiskan masa duduk di kafe memerhatikan kehidupan. Saya pelajari budaya dan pemikiran orang. Memang menakjubkan melihat ragam manusia untuk hidup dan mengejar cita-cita,' ujarnya.

Namun, selepas tiga tahun belayar - tempoh yang dianggapnya membuat beliau langsung tidak mengenali masa kerana selalu berada di zon masa yang berbeza-beza - Norleena akhirnya mengambil keputusan untuk hidup seperti biasa, dan memulakan satu lagi fasa baru dalam kehidupannya.

Beliau akan berada di Singapura selama dua tahun untuk memenuhi pelbagai undangan termasuk rancangan televisyen bersama Najip Ali, selain undangan pementasan peringkat nasional.

'Anda boleh jangkakan kemunculan saya dalam banyak acara dalam tempoh dua tahun ini.

'Norleena dulu yang manja dan tembam, masih wujud dalam diri saya, biarpun saya akan lebih menumpukan perhatian kepada bidang persembahan hiburan yang lebih serius,' ujarnya.


0 Komentar Untuk "WAH! DAH KURUS (Berita Harian)"

Out Of Topic Show Konversi KodeHide Konversi Kode Show EmoticonHide Emoticon

Terimakasih atas komentar Anda di "WAH! DAH KURUS (Berita Harian)"